Pepatah ada mengatakan, “Nak melentur buluh biarlah dari rebung”, “Bapa borek, anak rintik” dan “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Kesemua pepatah lama ini mengandungi unsur-unsur dalam pendidikan. Kita telah biasa mendengar pepatah-pepatah ini dan mungkin pernah mengalami konflik yang kritikal berkaitan dengan pepatah tersebut. Misalnya pepatah “Nak melentur buluh biarlah dari rebung” dapat memberi nasihat kepada kita bahawa kalau mahu membentuk peribadi atau membentuk akhlak yang baik ke atas seseorang manusia hendaklah dibentuk sejak kecil lagi.
Contoh yang terdekat dengan kita adalah seperti mendidik anak-anak untuk mengerjakan perintah solat lima waktu sehari semalam. Kita hendaklah membiasakan diri mereka, mengajar mereka serta menyuruh mereka bersolat ketika masih kecil sebelum baligh.
Janganlah hendaknya apabila anak-anak kita sudah tumbuh misai, janggut barulah disuruh mengerjakan perintah Allah itu, kerana kalau salah-salah langkah, anak-anak yang sudah besar itu boleh melenting kepada ibu bapa.
Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah (kalau mereka enggan) bila usia meningkat sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka.”
Kita berasa begitu gembira dengan sambutan yang diberi oleh masyarakat Islam untuk sama-sama membentuk generasi akan datang sebagai generasi yang terdidik, jiwa yang cinta kepada Allah dan Rasul. Kita kagum melihat bagaimana telatah anak-anak kecil yang berumur dalam lingkungan tiga atau empat tahun sudah memakai tudung bagi yang perempuan. Kanak-kanak ini sudah turut serta bersama-sama ibu bapa mereka meramaikan rumah-rumah Allah.
Bagaimana pula dengan anak-anak kita? Nak dibiarkan sampai boleh bergelar ‘bapa’ atau ‘datuk’ barulah nak bergegas ke masjid atau ke kuliah-kuliah fardu ain?Ibu bapa haruslah menunjukkan contoh kepada anak-anak mereka. Biarkan anak-anak kecil kita melihat bagaimana kedua-dua ibu bapa mereka mengerjakan ketaatan kepada perintah Allah.
Biasanya kita lihat di rumah-rumah, apabila ibu bapa hendak solat maka anak-anak mereka akan diletakkan jauh-jauh dari mereka atau dibiarkan terkurung di dalam bilik, takut mengganggu. Ini merugikan dari segi pendidikan anak-anak itu.
Seboleh-bolehnya biarlah anak-anak kita melihat bagaimana cara kita mengerjakan sembahyang. Dalam umur dua, tiga tahun mereka sudah kenal apa itu sembahyang dan kesan yang paling baik ialah kanak-kanak itu telah biasa dengan sembahyang.Kalau kita khuatir anak-anak akan menggangu solat kita maka bagi kanak-kanak perempuan, kita perlulah membersihkan diri mereka dahulu, pakaikan pakaian yang bersih kemudian barulah kita solat.
Sekiranya ketika bersolat mereka datang memeluk atau berbaring di depan kita, kita boleh mengubah kedudukan atau mendukung mereka dengan syarat setiap pergerakan itu tidak melebihi tiga kali pergerakan berturut-turut. Bagi kanak-kanak lelaki pula, keadaan ini sukar dilakukan kerana mereka perlu bersunat terlebih dahulu barulah dikira diri mereka itu bersih.Kita hendaklah mengerti bahawa mendidik anak-anak kecil dan melatih mereka dengan budi pekerti yang terpuji adalah perkara penting dan amat perlu.
Tugas pendidikan ini bukanlah suatu tugas sampingan yang boleh diketepikan atau ditukar ganti peranannya oleh orang lain. Dalam konteks ini bolehlah kita menarik perhatian tentang orang gaji sebagai ibu kedua bagi kanak-kanak yang kedua-dua ibu bapa mereka bekerja.
Belaian Manja Ibu Bapa
Kita harus sedar bahawa orang gaji tidak mampu untuk berfungsi sebagai ibu yang sejati. Anak-anak memerlukan kasih sayang. Kasih sayang tidak boleh dijual beli. Keperluan manusia bukan sekadar makan minum tetapi juga belaian manja dari ibu bapa. Tidak guna kalau kita melonggokkan segala kemewahan kepada anak-anak sedangkan jiwanya rasa bagai tiada tempat bertaut yang kukuh dan selesa.
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa anak-anak adalah amanat di tangan kedua ibu bapa. Hatinya suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk. Ia akan menerima apa sahaja yang dibuat kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya. Jika dibiasakan anak-anak itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajar kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu sehingga berbahagialah kehidupannya dunia akhirat.
Sebaliknya jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, sudah tentu dia akan binasa.Kalau sekarang ini kita begitu bersungguh-sungguh menjaga keselamatan anak-anak kita dari mara bahaya seperti terkena api dunia, maka melindunginya dari api akhirat adalah lebih penting dan utama lagi.
Cara melindungi anak-anak itu ialah dengan memberinya pendidikan dan pengajaran yang baik, dan membiasakan mereka dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya dari pergaulan dengan kawan-kawan yang jahat.
Tidak usah terlalu cerewet dengan kemewahan ataupun mengikut kemahuan anak-anak dalam serba-serbi kemewahan dan perhiasan diri, kerana dikhuatiri anak-anak itu akan menghabiskan umurnya memburu kemewahan sehingga boleh membawa kebinasaan yang berterusan kepada mereka. Kita amat mengharapkan akan tibanya generasi yang terdidik, yang berpegang teguh dengan tali Allah dan bukannya terumbang-ambing seperti yang didapati pada zaman sekarang.
Koleksi ANIS Oleh: Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
panjang nyer artikel ko nih... nie ada page yg comel.. amik lah kalu berkenan..free jo http://blogtemplate4u.com/
ReplyDelete